TABUNGAN

Friday, February 26, 2016

Tips: 7 budaya jepun yang anda perlu tahu sebelum bercuti ke Jepun


Nota: Penulisan ini telah di tulis oleh Amirul Lurima, dan di kongsikan semulaoleh saya. Semoga tips ini dapat membantu anda yang ingin bercuti ke Jepun.
Jepun sangat kaya dengan budaya mereka yang sangat unik. Masyarakat Jepun yang lemah lembut dan sopan menjadikan Jepun lebih istimewa dan menarik. Jika kita merancang bercuti ke Jepun, kita perlu tahu serba sedikit budaya dan amalan harian mereka disana. Ini adalah kerana untuk mengelakkan kita sebagai pelancong melakukan perkara yang kurang disenangi oleh orang Jepun. Kami kongsikan antara budaya Jepun yang perlu tahu sebelum melancong ke Jepun.
1. Tiada TIPPING

Amalan memberi tip adalah dianggap kurang sopan dikalangan masyarakat Jepun. Upah kerja yang dilakukan oleh mereka adalah hasil dari tugas dan tanggungjawab yang diberikan oleh majikan. Oleh sebab itu, orang Jepun tidak menerima sebarang tip dan itu dianggap kurang sopan dan tidak menyenangkan. Jika anda terhutang budi atau dibantu oleh seseorang diluar skop kerja, pemberian kecil seperti hadiah lebih disenangi berbanding duit
2. Penggunaan Bahasa Inggeris

Penggunaan bahasa Inggeris di Jepun sangat rendah dan Bahasa Jepun merupakan bahasa utama pengantaran di sana. Oleh kerana itu, tidak pelik jika hampir semua orang Jepun yang anda jumpa tidak tahu bahasa Inggeris. Mereka akan menggunakan bahasa jepun kepada anda walaupun mereka tahu anda adalah pelancong. Jika anda tidak tahu bahasa Jepun, cuba berbahasa Inggeris dengan perlahan bersama isyarat tangan supaya mereka memahami. Belajar sedikit bahasa Jepun ringkas adalah sangat membantu. Jika anda mempunyai tour guide, ini bukan masalah.
3. Bersin di tempat awam

Masyarakat Jepun terkenal dengan budaya menjaga kebersihan yang sangat tinggi. Bersin di khalayak ramai juga dianggap tidak sopan kerana dianggap sesuatu perbuatan yang kotor dan menjijikan. Jika terasa mahu bersin, cuba tahan atau bersin di tempat yang sedikit sunyi dan bukan di kawasan orang ramai. Saranan memakai topeng muka yang selalu digunakan oleh orang Jepun jika berasa kurang sihat.
4. Tunduk atau Bow

Masyarakat Jepun dan Korea sangat terkenal dengan budaya tunduk atau bow. Amalan bow ini digunakan ketika bertemu dengan individu lain sebagai tanda hormat dan menyapa dengan cara yang baik. Caranya amat mudah, hanya perlu tunduk sedikit kepala bersama badan dan orang yang kita jumpa itu akan buat perkara yang sama. Jangan terlampau tunduk ke bawah kerana ia kelihatan pelik.
5. Simpan sampah dalam poket atau beg

Antara benda yang susah untuk dilihat di Jepun adalah sampah. Mereka tidak sewenang-wenangnya membuang sampah merata-rata. Cinta mereka kepada Negara sangat tinggi dan mengotorkan Negara adalah satu amalan yang hina. Masyarakat Jepun sangat menjaga kebersihan. Oleh itu, jika anda tidak jumpa tong sampah, simpan dahulu sampah itu sama ada dalam poket atau beg. Jika tidak, akan ada orang Jepun yang memarahi anda dan ini bakal mencemarkan imej anda dan Negara sendiri.
6. Jangan gunakan Chopstick untuk memberi makanan


Jika anda sedang makan di restoran Jepun dengan menggunakan Chopstick dan ingin memberi makanan kepada kawan disebelah anda. Jangan gunakan chopstick sebaliknya angkat pinggan itu dan hulurkan pada mereka. Amalan memberi makan menggunakan chopstick mengingatkan mereka kepada kematian. Dalam upacara pengebumian di Jepun, mereka menggunakan kayu untuk mengalihkan tulang mayat yang dibakar. Oleh sebab itu, amalan ini sangat dilarang di Jepun.
7. Teknologi yang sangat moden di semua tempat

Jepun terkenal dengan teknologi moden dan ciptaan robot yang canggih. Anda jangan terkejut jika ada sesetengah mesin yang tiada butang untuk ditekan, paip air yang mengeluarkan air dengan sendirinya malah kaunter makanan yang tiada pelayan dan hanya ada sebuah patung robot menyambut ketibaan anda. Melancong ke Jepun membuat anda melihat masa depan Negara anda di masa akan datang.

No comments:

Post a Comment