TABUNGAN

Wednesday, February 24, 2016

Berdosakah perkahwinan tanpa anak? Antara stigma masyarakat dan perasaan sendiri


Assalamualaikum...

Hari ini, syukur dan Alhamdulillah masih bernafas di bumi yang maha esa ini. Kali ni nak sentuh tentang perkahwinan tanpa anak. Anak..ya anak adalah anugerah dan amanah Allah kepada pasangan yang telah berumahtangga. Tiada satu pun pasangan yang mendirikan rumahtangga ingin hidup tanpa zuriat penyambung keluarga. Jika ada pun, mungkin pasangan itu seharusnya diklasifikasikan sebagai pasangan yang 'gila' mungkin.

Seperti aku sendiri, berkahwin hampir memasuki tahun yang ketujuh  namun perancangan Allah itu tak siapa yang tahu kan.. Sehingga kini masih belum dikurniakan cahaya mata. Pelbagai usaha telah aku lakukan samada yang moden mahupun tradisional. Sesungguhnya setiap usaha itu indah. Indahnya kerana aku dapat belajar banyak perkara tentang dunia sakit puan. Banyak ilmu yang aku dapat melalui perbincangan bersama gynea, pembacaan buku-buku tentang masalah sakit puan dan secara tidak langsung banyak terma perubatan yang dapat dipelajari. Itukan satu ilmu juga dan ilmu itukan adalah rezeki. Nampak tak? Bagaimana besar perancangan Allah itu kerana tanpa kita sedar banyak rezeki yang dia beri. Cumanya terkadang manusia itu saling salah menyalahi nasib dan takdir.


Aku bersyukur kerana tanpa zuriat inilah aku dapat merasa macam-macam pengalaman yang wanita lain mungkin tidak merasa. Sepanjang pengalaman TTC (Trying to Concive), dapat rasa pengalaman TVS (Transvaginal Scan) dimana skop kamera kecil yang aku jangka saiznya menyerupai berus gigi elektronik dimasukkan untuk melihat keadaan rahim.Pengalaman berdebar-debar dan meleleh air mata ketika kamera tersebut perlahan-lahan memasuki tubuh ini sambil melihat skrin yang ada disebelah. Selain itu, pengalaman yang paling tidak dapat dilupakan apabila kesakitan yang amat sangat disekitar payudara sehingga menjalar ke tulang belakang selepas makan sejenis pil bernama ' Provera (Medroxyprogesterone Acetate)'. Waktu itu hanya Allah sahaja yang tahu betapa sakitnya sehinggakan nak berjalan ke bilik doktor pun perlu dipapah. Rupanya tubuh badanku sama sekali tidak boleh menerima kehadiran ubat tesebut. Selepas gagal Provera, doktor menukar ubat kepada Metformin dan Duphaston. Sekali lagi, aku merasakan kesan yang teruk dengan kedua-dua jenis ubatan ini. Tubuh badan menjadi panas sehinggakan waktu pagi di ofis dengan suasana aircond yang kuat namun aku seperti orang yang berlari 1000km,badan  menjadi panas dan berpeluh yang teruk, mood pula 'swing' tak tentu hala. Pernah sekali, aku mengamuk marah-marah tanpa sebab hanya kerana disebabkan kesan ubat tersebut. Setahun setengah aku ambil tersebut dan akhirnya aku 'surrender' kerana result NOTHING. Selepas 4 tahun berulang alik ke O&G HUKM, akhirnya aku berhenti untuk menerima sebarang rawatan kerana kecewa dan ketika itu aku fikir untuk detox tubuh badan dari sebarang chemical medicine. 

Rawatan O&G di HUKM


Stok ubat
I'm TTC MALAYSIA member


Pada tahun kelima, aku kembali lagi usaha TTC di Klinik Pakar Doktor Hamid Arshad dan pada ketika itulah setelah menjalani TVS, doktor dapati masalah besar aku adalah 'Retroverted Uterus' (Rahim terbalik) dan PCOS (Polysistic Ovarian Syndrome). Selama 4 tahun rawatan di HUKM, aku hanya tahu masalah aku adalah PCOS sahaja, tidak tahu pula tentang Retroverted Uterus. Doktor Hamid mencadangkan aku mengambil Clomid selama satu cycle dan alhamdulillah setelah mengambil ubat Clomid dan lakukan scan, doktor dapati ada satu telur saiz agak besar. Alhamdulillah berbunga-bunga rasa hati. Doktor mencadangkan cucuk Puregon dan mengambil Pregnyl. Namun, jika tertulis bukan rezekiku maka tidaklah ia. Setelah prosedur ubatan tersebut, aku alami haid dan prosedur tersebut dianggap GAGAL. Doktor Hamid mencadangkan aku lalui prosedur pembedahan Laproskopi dan sehingga kini aku masih lagi dalam usaha untuk mengumpul duit bagi menjalaninya.

Setiap pengalaman yang aku lalui, aku anggap ianya adalah rezeki dan perlu bersikap lebih positif. Aku percaya Allah dah atur cantik untukku cuma aku perlu lebih usaha dan tawakal.

Rupa PCOS pada ovari



Rupa 'good ovum' semasa rawatan di Klinik Doktor Hamid Arshad (yang ketulan besar)


STIGMA MASYARAKAT VS PERASAAN SENDIRI?

Ye... kita sukar untuk lari dari stigma masyarakat dengan mengatakan wanita yang tidak mengandung itu adalah MANDUL atau BAWA SIAL. Aku sendiri merasai pengalaman dikatakan sebegitu namun aku malas ambil pusing kerana aku tidak mahu input negatif meresap dalam fikiran. Perlu diingatkan wanita yang sedang berTTC perlu sentiasa bersikap positif.

Tipulah kalau aku katakan yang aku tak cemburu dan sedih melihat kawan-kawan yang sedang mengandung. Melihatkan gambar kawan-kawan mengandung di facebook pun kadang-kadang hati menangis. Itu lumrah. Cuma kita tidak boleh terlalu terbawa-bawa perasaan sedih itu. Hidup perlu diteruskan kan...Wanita TTC yang sentiasa bersikap negatif sedikit sebanyak ianya dapat menganggu perjalanan haid, pembesaran kualiti telur dan kegagalan prosedur ubat-ubatan dan sebagainya.

LA TAHZAN...JANGAN BERSEDIH. SABAR  Perancangan Allah adalah yang terbaik untuk hambanya. Bersangka baik dengan Allah dan mensyukuri setiap nikmat dan rahmat yang dikurniakan selam ini.


  • Suami MAKA ucapkan syukur kerana mempunya isteri yang sanggup bersusah senang bersama kita
  • Isteri MAKA ucapkan syukur kerana mempunyai suami setia disisi
  • Ibu bapa MAKA ucapkan doa agar pasangan anak dan menantu dikurniakan zuriat bagi mengukuh ikatan kasih sedia ada
  • Kawan MAKA ucapkan doa agar kawan dikurniakan zuriat
  • Saudara mara MAKA ucapkan doa agar pasangan ini dikurniakan zuriat dan bahagia sentiasa

Mulakan dengan mendidik diri agar menghormati perasaan orang lain. Sememangnya manusia itu adalah makhluk yang begitu kompleks. Ada rasa benci, sayang, suka dan sebagainya. Terkadang rasa tidak puas hati kepada orang lain secara tidak langsung melukakan perasaan orang lain.

Bagi anda yang dimurahkan rezeki zuriat, cuba jangan sesekali menyoalkan kepada orang lain yang belum mempunyai cahaya mata dengan soalan-soalan yang mengguris perasaan.


JANGAN TANYA!

  1.  Eh Timah...lama tak nampak, berapa anak kau sekarang? - Lebih baik tanya Kau tinggal mana sekarang?
  2. Kenapa kau tak mengandung lagi, laki/bini kau ada masalah ke?
  3. Joyah..kau tau anak jiran kita tu yang kahwin bulan lepas tu dah mengandung tau.. kau bila lagi?
  4. Kau ni bila nak mengandung ni? Orang lain yang kahwin selepas kau pun semua dah mengandung
  5. Kau ni tak pergi berubat ke?





2 comments:

  1. hehehe...cik kak pun tanpa sedar sebut "Aku bersyukur kerana tanpa zuriat inilah aku dapat merasa macam-macam pengalaman yang wanita lain mungkin tidak merasa"... apa perasaan plak geng2 yg belum ketemu jodoh ni. Hihi..mgkin cik kak nak sebut tanpa niat kan dan ia mungkin sama juga dgn mrk yg dlm "JANGAN TANYA" tu, makanya... maafkanlah dan kuatkan hati, semangat & akal. Sbnrnya, pd pdgn sy lah, ia leih pd perasaan sndri dr berperang dgn suasana. I sapot u...

    ReplyDelete
  2. ya kita kena bersyukur apa jua yg berlaku. sebab sesuatu perkara yg jadi ada asbab tertentu yang Allah mahu kita belajar. Jangan sesekali menyalahkan takdir, murung menyalahkan diri sendiri. tentang JANGAN TANYA itu lebih merujuk kepada masayarakat kita yg kadang-kadang suka membanding2 tanpa sedar melukakan perasaan org lain. Namun percayalah, wanita TTC itu kuat dari pelbagai aspek.

    ReplyDelete